Ini antara persoalan yang sering diluahkan oleh ibu bapa apabila berdepan dengan cabaran dalam pembelajaran anak masing-masing.
"𝘼𝙣𝙖𝙠 𝙨𝙖𝙮𝙖 𝙩𝙞𝙖𝙙𝙖 𝙢𝙖𝙨𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙙𝙖𝙡𝙖𝙢 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙖𝙘𝙖, 𝙙𝙞𝙖 𝙛𝙖𝙝𝙖𝙢 𝙘𝙪𝙢𝙖 𝙩𝙪𝙡𝙞𝙨𝙖𝙣 𝙙𝙞𝙖 𝙟𝙚 𝙗𝙪𝙧𝙪𝙠 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙖𝙠 𝙠𝙚𝙢𝙖𝙨 𝙡𝙖𝙣𝙜𝙨𝙪𝙣𝙜
"
Secara semula jadi, ramai yang beranggapan bahawa pelajar tersebut hanya perlu lebih banyak latihan menulis.
Kadang-kadang kesukaran dalam tulisan sebenarnya bukan semata-mata masalah menulis. Menulis merupakan salah satu kemahiran akademik yang kompleks untuk dipelajari oleh pelajar kerana ia memerlukan beberapa sistem dalam otak untuk bekerjasama pada masa yang sama.
Dalam kemahiran menulis, seorang pelajar bukan sekadar menyalin atau menulis di atas kertas. Untuk menghasilkan tulisan, pelajar perlu mengenal pasti bunyi-bunyi dalam perkataan, menghubungkan bunyi tersebut dengan huruf, mengingati pola ejaan, menyusun idea dalam bentuk bahasa, menggunakan tanda baca dengan betul, serta pada masa yang sama mengawal pergerakan motor halus untuk membentuk huruf di atas kertas.
Apabila salah satu daripada sistem ini lemah, tulisan tangan selalunya menjadi tempat pertama di mana kesukaran itu dapat dilihat.
Dalam sesetengah keadaan, pelajar mungkin telah menerima sokongan seperti terapi carakerja (Occupational Therapy) untuk membantu tulisan tangan atau kemahiran motor halus mereka. Terapi carakerja boleh membantu memperbaiki pegangan pensel, kekuatan tangan, dan koordinasi pergerakan. Namun ada juga keadaan di mana masalah tulisan tangan masih berterusan walaupun aspek-aspek tersebut telah diberi perhatian.
Apabila ini berlaku, ia mungkin menandakan bahawa kesukaran tersebut bukan hanya berkaitan motor semata-mata, tetapi juga melibatkan kemahiran literasi asas.
Antara salah faham yang sering berlaku dalam kalangan ibu bapa ialah apabila seorang pelajar boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan lancar, ramai yang terus menganggap bahawa dia juga mampu membaca, menulis dan memahami dengan baik dalam kebanyakan bahasa yang dipelajari. Malah, masih ramai yang beranggapan bahawa kebolehan bercakap dalam Bahasa Inggeris merupakan tanda kecerdasan secara keseluruhan.
Namun apabila dibuat penilaian yang lebih teliti, barulah jelas bahawa kemahiran membaca pelajar tersebut sebenarnya belum benar-benar dikuasai seperti yang disangkakan.
Hakikatnya, kebolehan bercakap dan kebolehan membaca adalah dua kemahiran yang berbeza. Seorang pelajar mungkin boleh bertutur dengan lancar kerana dia banyak mendengar dan menggunakan bahasa tersebut dalam kehidupan harian, tetapi kebolehan bertutur itu tidak semestinya mencerminkan tahap kemahiran bacaannya.
Oleh sebab itu, masalah tulisan kadangkala boleh menjadi petunjuk kepada kesukaran literasi yang lebih mendalam.
Apabila punca sebenar dapat dikenal pasti, sokongan yang diberikan kepada pelajar akan menjadi lebih tepat dan berkesan.
Kadangkala apa yang kelihatan baik di permukaan disangka tiada masalah. Namun apabila dikupas satu persatu, barulah ditemui cabaran pembelajaran yang sebenar. Ibarat dalam bidang perubatan, pemeriksaan dan ujian perlu dilakukan terlebih dahulu untuk mengenal pasti punca sebenar masalah sebelum rawatan yang sesuai dapat diberikan.
Bagi ibu bapa yang sedang cuba memahami punca kesukaran pembelajaran anak atau tertanya-tanya mengapa anak masih belum menunjukkan kemajuan yang diharapkan, pautan untuk membuat temu janji penilaian disediakan di ruangan komen.
𝗝.𝗦.
𝑃𝑠𝑦𝐷, 𝑃𝑟𝑜𝑓𝐷𝑜𝑐 (𝑆𝑝𝐸𝑑), 𝐺𝑀𝐵𝑃𝑠𝑆
𝘗𝘴𝘪𝘬𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪𝘴 𝘗𝘦𝘯𝘥𝘪𝘥𝘪𝘬𝘢𝘯 (𝘌𝘥𝘶𝘤𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭 𝘗𝘴𝘺𝘤𝘩𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪𝘴𝘵) | 𝘗𝘦𝘳𝘶𝘯𝘥𝘪𝘯𝘨 𝘗𝘦𝘯𝘥𝘪𝘥𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘒𝘩𝘢𝘴 & 𝘕𝘦𝘶𝘳𝘰𝘥𝘪𝘷𝘦𝘳𝘴𝘪𝘵𝘪.
0 Response to "Cabaran dalam pembelajaran anak masing-masing."
Post a Comment